Ibu Ayah Sila Malu di Hadapan Anak-Anak

FB_IMG_1501724167345
Gambar sekadar hiasan

Anak-anak cenderung untuk menceritakan ‘keaiban’ yang dilihat di rumah kepada cikgu dan kawan-kawan di sekolah!

Saya nak kongsikan beberapa kisah yang dianggap remeh oleh orang dewasa tetapi dianggap besar bagi kanak-kanak.

(hasil pemerhatian dari pengalaman sendiri selama 12 tahun mengajar di sekolah rendah dan dari kawan-kawan guru)

1) Pernah beberapa tahun lepas, seorang kawan, mengajar tentang Adab Islamiyah di dalam kelas darjah 3 di sebuah sekolah kebangsaan di Pulau Pinang.

Tiba-tiba ada seorang murid perempuan bangun bertanya.

“Ustazah, bolehkah kita memukul orang lain?”

Mestilah guru menjawab , “Tidak boleh”.

“Islam kan melarang kita menyakiti orang lain. Islam menggalakkan kita menyayangi orang lain terutamanya saudara mara kita.”

Tambah guru lagi sambil tersenyum pada anak muridnya.

“Kalau begitu, kenapa ayah saya selalu pukul ibu saya dengan kayu?” Anak tersebut memberikan soalan maut!

Guru terkedu.

Setelah diselidik pada waktu rehat, barulah diketahui bahawa anak tersebut sentiasa dimarahi ayahnya. Ibunya pula dipukul dan dimaki. Dan penderitaan ini bermula sejak anak tersebut tadika lagi.

Hiba dan sayu rasanya.

Kata pakar, ‘kecurangan’ atau aib yang kita lakukan di hadapan anak-anak, akan membentuk memori yang kuat dalam minda anak-anak kita.

2) Saya sendiri pernah diberitahu oleh seorang murid lelaki yang beliau melihat ‘episod pertarungan atas katil ibubapanya’ pada waktu malam!!

Kata beliau ibu dan bapanya tidak perasan dia tersedar dari tidur.

Beliau mengaku begitu setelah ditangkap menunjukkan isyarat lucah dengan tangan kepada kawan perempuan.

Ia sangat menakutkan. Cuba kita bayangkan bagaimana pertumbuhan minda anak-anak yang diserang dengan gambaran buruk dalam hidup mereka?

Mereka sentiasa menanti-nanti waktu untuk memberontak atau menirunya!

Bahaya! Sangat bahaya..

‘Kecurangan’ ibu bapa, tidak terhad kepada perlakuan buruk sahaja.
Kadang-kadang kita kurang malu di hadapan anak-anak.

3) Pernah diceritakan oleh seorang penceramah pembangunan diri dan keluarga.

Dalam sebuah ceramahnya kepada ibubapa pelajar sebuah sekolah di Daerah Alor Setar, beliau memberikan teguran santai.

“Ibu bapa sekalian mesti jaga aurat di hadapan anak-anak terutamanya anak-anak remaja. Janganlah kita nak mandi, kita londeh semua, berjalan dari depan sehingga ke tandas. Pening anak-anak kita yang tengok nanti!”

Penceramah ketawa. Begitu juga dengan audien. Semua ketawa dengan peringatan berunsur humor tersebut.

Namun, dalam hiruk-pikuk suara para pendengar, ada seorang ibu yang ketawa dengan sangat kuat sehingga memaksa penceramah bertanya.

“Wah puan, kuatnya ketawa! Awat ni? Mesti ada cerita..”

Dengan pantas dan tanpa segan silu, puan tersebut terus bangun dan berkata dengan suara yang lantang.

“Ustaz, saya ketawa sebab contoh yang ustaz berikan tu memang tepat! Suami saya memang buat begitu. Londeh semua tinggal seluar dalam je, lepas tu jalan melenggang kangkung ke tandas. Anak-anak lelaki perempuan semua tengok. Hahaha..” Ya Tuhan.

Penceramah terdiam. Ketawa pun tidak. Marah pun tidak. Tidak tahu mahu berikan reaksi apa. Malu sebenarnya.

Walaubagaimanapun, kita tidak katakan semua ibu bapa begitu. Ada juga ibu bapa yang menyembunyikan aib mereka namun begitu secara tidak sengaja tersilap mendedahkannya.

4) Ketika suami saya mengajar sebuah tadika di Permatang Pauh. Ada seorang anak murid lelaki duduk bertenggek disebelahnya bermain dengan bulu-bulu roma di tangan ustaznya yang panjang. Suami saya ada darah Benggali dan Melayu.

“Kenapa asyik main bulu tangan ustaz ni?” usik suami.

“Seronok main. Bulu tangan ustaz panjang!”

Suami hanya biarkan.

Murid tersebut menyambung:

“Tapi, kalau ustaz nak tahu. Ummi saya lebih hebat, Ummi saya ada bulu panjang juga di ketiaknya!!”

Terlopong suami saya dengan cerita sadis anak tersebut.

Kenapa kita mendedahkan aib kita sendiri?

Secara Asasnya, otak kita ada satu daerah yang bernama ‘pregenual anterior cingulate cortex’. Ia berada jauh di dalam otak iaitu sebelah kanan depan.

Ia berfungsi untuk mengawal rasa malu di dalam diri kita.

Apabila daerah tersebut semakin mengecil disebabkan mental tidak sihat, stress dan ujub, maka ia akan menurunkan rasa malu di dalam diri kita.

Sehingga kadang-kadang kita menjadi orang yang tidak tahu malu langsung lagaknya!

Na’uzubillah..

Akhirnya, saya menyeru kepada ibubapa sekalian, berhati-hatilah dengan tindakan kita.

Cuba renung wajah anak-anak kita sewaktu mereka tidur dan tanya diri kita sendiri,

“Apa yang anak aku dah ceritakan tentang aku dan ayahnya di sekolah?”

-Ustazah Wa’aza
12 tahun mengajar dengan comel.

Artikel ini disumbangkan oleh Wa’aza Abd Rahman 

Advertisements